Thursday, February 4, 2010

ALAHAN BAWA MAUT


Oleh

NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN


Individu Yang Ada Alahan Anafilaksis Perlu Waspada Kerana Tindak Balas Badan Berlaku Dengan Cepat.

ADA orang menganggap alahan bukan perkara yang sangat membimbangkan, tetapi mereka tidak tahu perkara ini sebenarnya boleh membahayakan nyawa jika dipandang remeh.

Apabila seseorang mengalami alahan, perkara yang sering ditanya ialah ‘makan apa semalam?’ Gejala alahan bukan hanya dicetuskan oleh makanan kerana banyak benda lain boleh menyebabkan masalah ini. Selain makanan, ada orang alah pada logam, nikel, minyak wangi, getah, gigitan serangga, ubat dan senaman.

Kes Azlina Saian, 34, yang meninggal dunia selepas digigit serangga, adalah contoh yang menunjukkan alahan tidak boleh dianggap masalah ringan kerana ia boleh membawa maut jika lewat mendapat rawatan.

Ada pendapat mengatakan, sebenarnya hampir semua orang alah terhadap bahan tertentu tetapi tidak menyedarinya. Ia mungkin disebabkan reaksi alahan yang sedikit dan tidak mendatangkan masalah besar kepada individu berkenaan.

Alahan yang sedikit boleh diatasi dengan menghindari faktor penyebab atau alergen, tetapi individu yang mengalami alahan melampau (akut atau dipanggil anafilaksis) perlu lebih berwaspada.

Tindak balas badan individu yang mengalami alahan melampau berlaku dengan cepat. Apabila alergen memasuki aliran darah, badan membebaskan sejenis bahan kimia iaitu histamin untuk menghapuskan alergen berkenaan.

Bagaimanapun, bagi individu dalam kumpulan ini, badan mereka menghasilkan terlalu banyak histamin sehingga menyebabkan gejala gangguan saluran pernafasan (lelah, bronkitis, asma); kulit menjadi gatal, tumbuh ruam dan ekzema.

Sementara kanak-kanak pula sering mengalami sembelit, cirit-birit, muntah dan kembung perut, sukar tidur, resah, gelisah, tidak selesa serta pertumbuhan yang lambat.

Ketika sambutan Hari Alergi Malaysia, Presiden Persatuan Alergi dan Imunologi Malaysia (MSAI), Dr Ranbir Kaulsay, berkata masalah anafilaksis tidak boleh dianggap ringan kerana seseorang itu boleh menemui maut dalam masa singkat jika tidak diberikan rawatan segera.

Kejadian alahan melampau tidak banyak dilaporkan, sama ada di Malaysia atau negara Barat. Malah, di negara maju seperti Amerika Syarikat hanya 30 kes dilaporkan bagi setiap 100,000 penduduk, tetapi dipercayai jumlah kejadian sebenar jauh lebih tinggi.

Malah, risiko alahan meningkat bagi pesakit asma atau individu yang mengalami alahan rinitis serta ekzema (alahan yang menyebabkan kulit gatal dan kadangkala berubah menjadi seperti kudis).

Alahan boleh berlaku kepada sesiapa saja pada bila-bila masa. Sehingga kini tiada siapa tahu bagaimana seseorang itu boleh alah kepada sesuatu benda secara tiba-tiba.

Kajian mendapati, ramai di kalangan orang dewasa alah terhadap makanan, ubat-ubatan, gigitan serangga dan senaman. Manakala kebanyakan kanak-kanak pula mengalami alahan terhadap makanan. Jenis makanan yang boleh mendatangkan alahan juga pelbagai, tetapi secara umumnya ia makanan kaya protein seperti makanan laut, telur dan kekacang.

Reaksi badan terhadap alahan berlaku sangat pantas iaitu hanya beberapa minit. Jika tidak diberikan rawatan segera, individu yang diserang alahan melampau boleh meninggal dunia kerana histamin bertindak menyekat aliran udara atau menyebabkan tekanan darah turun mendadak.

Justeru, jika berasakan anda seorang daripada kumpulan yang ada masalah ini, anda disaran menjalani ujian alahan di mana-mana hospital besar. Ujian alahan yang ada sekarang mempunyai ketepatan sehingga 95 hingga 99 peratus.

Ujian ini membolehkan anda tahu jenis alergen yang perlu dihindari supaya tidak timbul masalah kemudian hari. Selain itu, cari maklumat mengenai cara mengendalikan alahan dan rawatan yang ditawarkan di hospital berdekatan rumah anda.

Antara rawatan yang ada sekarang ialah suntikan epinefrin atau adrenalin. Epinefrin bertindak melawan gejala anafilaksis dengan merehatkan otot, mengurangkan rasa gatal, memperbaiki saluran pernafasan dan merangsang degupan jantung.

Untuk membawa pesakit ke hospital selepas terdedah kepada alergen mungkin mengambil masa dan dikhuatiri gejala alahan menjadi terlalu serius apabila tiba di hospital.

Sebagai penyelesaian, pesakit kini boleh membeli pen epinefrin yang hanya boleh dibeli melalui preskripsi doktor di kebanyakan hospital dan klinik. Pesakit dewasa memerlukan dos 0.3 miligram manakala kanak-kanak 0.15 miligram.

Doktor anda akan mengajar cara menggunakan pen epinefrin. Pesakit masih perlu dihantar ke hospital walaupun selepas mendapat suntikan epinefrin di rumah untuk diberikan antihistamin dan steroid bagi mengelak reaksi alahan berulang selepas beberapa jam.

ALAHAN MELAMPAU


Oleh

NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN


DUA minggu sebelum hari ulang tahun keempat, Angus tiba-tiba diserang anafilaksis, menyebabkan bibirnya bengkak. Panik melihat keadaan anaknya, Brenda Wylie segera membawa Angus ke hospital dan dia dibenarkan pulang selepas diberikan ubat.

Namun, keadaan Angus tidak berubah. Malam itu Brenda benar-benar takut dan bimbang melihat keadaan anaknya yang terlantar tidak bergerak, bibir bengkak dan tidak boleh menelan ubat. Dia tidak tahu apa berlaku kepada anaknya kerana Angus kanak-kanak ceria dan jarang mengalami masalah kesihatan.

Hendak dikatakan dia mengalami alahan tidak mungkin kerana makanan yang diambilnya hari itu adalah sajian biasa sejak Angus kecil. Malah, doktor yang memeriksanya juga mengatakan ia bukan disebabkan alahan.

Keesokan hari, dia segera membawa Angus berjumpa Perunding Alahan, Unit Otorinolaringologi, Jabatan Pembedahan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ranbir Kaulsay dan Angus disahkan mengalami alahan terhadap susu dan telur.

“Hari itu juga kami mengubah diet sekeluarga. Tiada lagi makanan berasaskan telur atau susu. Memang sukar, tetapi kami sepakat melakukannya demi keselamatan Angus,” katanya.

Angus membawa pen epinefrin ke sekolah atau ke mana-mana saja dia pergi. Malah, Brenda pergi mengajar guru dan kawan rapat Angus cara menggunakan pen berkenaan serta tanda alahan yang mungkin berlaku.

April lalu, Angus tiba-tiba berasa tidak sihat. Dia mengadu badannya panas dan sakit perut. Ibunya memberikan ubat demam dan menyuruh Angus tidur. Awal pagi keesokan harinya, bibir Angus menjadi bengkak. Sementara ibunya mengambil ubat, bengkak di bibir Angus merebak ke seluruh muka.

“Saya sangat takut melihat bibir Angus bengkak secara tiba-tiba sehingga menyebabkan dia tidak boleh bercakap. Saya memberitahu, dia perlu disuntik epinefrin dan Angus memberi isyarat mahu melakukannya sendiri.

“Selepas suntikan, bengkaknya mulai surut dan sejam kemudian Angus kembali normal. Sejak itu saya pastikan pen epinefrin sentiasa dalam simpanan kerana Angus pernah diserang anafilaksis dua kali. Pen itu menyelamatkan anak saya,” katanya.

Apa dialami Angus adalah tindak balas alahan melampau atau akut dipanggil anafilaksis. Tindak balas pantas dan serius ini berlaku apabila seseorang terdedah kepada bahan penyebab alahan atau alergen.

Apabila alergen memasuki aliran darah, badan membebaskan sejenis bahan kimia (histamin) untuk menghapuskan alergen itu. Terlalu banyak histamin boleh menyebabkan gejala berbahaya seperti bengkak, masalah pernafasan, pening, kejutan dan kematian.

Dr Ranbir yang juga Presiden Persatuan Alergi dan Imunologi Malaysia (MSAI) berkata, ini sebabnya anafilaksis tidak boleh dipandang ringan. Dalam tempoh singkat gejala alahan akut ini boleh membawa maut jika tidak diberikan rawatan segera. Antara punca yang boleh menyebabkan anafilaksis ialah alahan kepada getah, ubat, makanan, gigitan serangga dan senaman.

GEJALA

Menurut Perunding Telinga, Hidung dan Tekak, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr Kuljit Singh, insiden alahan menunjukkan peningkatan kerana semakin ramai terdedah kepada alergen.

Bagaimanapun, masalah anafilaksis tidak banyak dilaporkan dan penularannya mungkin lebih tinggi daripada dianggarkan. Di Amerika Syarikat, sebanyak 30 kejadian anafilaksis berlaku bagi setiap 100,000 penduduk dan risiko mengalami alahan akut ini lebih tinggi di kalangan pesakit asma, ekzema atau alahan rinitis.

Katanya, alahan boleh berlaku kepada semua orang pada bila-bila masa secara tiba-tiba. Seseorang boleh tiba-tiba menjadi alah kepada telur, gandum, kacang atau bahan lain walaupun bahan berkenaan selalu digunakan.

Walaupun kebanyakan punca alahan di kalangan orang dewasa tidak diketahui, kajian mendapati ramai alah terhadap sengatan serangga, ubat-ubatan, makanan dan senaman.

Namun, kebanyakan kanak-kanak biasanya mengalami alahan terhadap makanan. Alahan adalah perkara biasa dan kebanyakan penduduk negara ini mengalami sedikit alahan yang tidak memudaratkan.

Bagaimanapun, alahan akut atau anafilaksis boleh menyebabkan kematian kerana aliran udara tersekat atau kejatuhan tekanan darah secara mendadak jika tidak mendapat rawatan segera.

“Individu yang berasakan mereka ada masalah alahan, lebih baik berjumpa pakar bagi memastikannya. Kebanyakan ujian alahan yang ada sekarang adalah 95 hingga 99 peratus tepat.

“ Reaksi alahan sukar dijangka. Dalam beberapa minit saja reaksi alahan mungkin berubah menjadi serius seperti kejutan anafilaksis yang boleh meragut nyawa pesakit,” katanya.

Dr Ranbir berkata, ini sebabnya pesakit yang mengalami gejala alahan perlu diberi rawatan segera. Malah, pesakit perlu bertanggungjawab memastikan mereka sentiasa terhindar daripada alergen.

“Biasanya pesakit perlu dibawa ke hospital untuk menerima suntikan epinefrin atau adrenalin dan proses ini mengambil masa. Epinefrin bertindak melawan semua gejala anafilaksis, merehatkan otot, mengurangkan rasa gatal, memperbaiki saluran pernafasan dan merangsang degupan jantung,” katanya pada pelancaran pen suntikan epinefrin, EpiPen untuk pesakit dewasa dan kanak-kanak.

Pen epinefrin mudah digunakan. Ia hanya perlu disuntik pada tepi paha (kerana di sini kurang saraf) tanpa perlu menanggalkan pakaian. Malah, jarum yang direka mampu menembusi seluar denim yang tebal.

Pen ini didatangkan dalam dua dos iaitu 0.3 miligram untuk orang dewasa dan 0.15 miligram bagi kanak-kanak. Bagaimanapun, mereka yang ada masalah jantung dan mengambil ubat antidepresan disaran mendapatkan nasihat doktor terlebih dulu sebelum menggunakan pen epinefrin.

Dr Ranbir berkata, pen itu adalah rawatan kecemasan apabila diserang anafilaksis dan ia perlu digunakan dengan berhati-hati. Berlebihan dos akan menjejaskan degupan jantung, mual dan sukar bernafas. Malah, ahli keluarga perlu belajar cara menggunakannya dan kesan sampingan kerana berlebihan dos boleh merosakkan organ penting dalam badan.

Sejurus selepas pesakit disuntik dengan epinefrin, dia perlu segera dibawa ke hospital untuk diberikan antihistamin dan steroid untuk mengelak reaksi alahan kedua yang boleh berlaku beberapa jam kemudian.

ALERGI BOLEH DICEGAH


Oleh

NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN


KULIT menjadi merah, tumbuh ruam dan gatal, berasa mual, muntah, cirit-birit atau ekzema sejurus selepas makan adalah gejala biasa dialami individu yang mempunyai masalah alahan terhadap makanan.

Alahan atau alergi adalah reaksi hipersensitif badan yang luar biasa terhadap benda asing dan masalah ini semakin kerap berlaku, terutama pada kanak-kanak dengan peningkatan insiden sebanyak 35 peratus.

Hampir 40 peratus kanak-kanak di seluruh dunia mengalami masalah alahan makanan dan kes paling biasa ialah alah pada protein susu lembu. Alahan dikategorikan sebagai masalah keturunan dan sehingga kini tiada ubat mampu menyembuhkannya.

Alahan juga perlu dikawal dan diuruskan dengan baik kerana ia bukan saja boleh mencetuskan gejala alahan lain, tetapi turut mengancam nyawa penghidapnya.

Antara gejala alahan ialah gangguan saluran pernafasan (lelah, bronkitis, asma); kulit menjadi gatal, tumbuh ruam dan ekzema; kanak-kanak sering mengalami masalah sembelit, cirit-birit, muntah dan kembung perut, sukar tidur, resah, gelisah, tidak selesa serta pertumbuhan yang lambat.

Menurut Pakar Pemakanan, Wong Mei Ching, semua kanak-kanak mempunyai risiko antara lima hingga 15 peratus walaupun mereka dilahirkan dalam keluarga yang tidak pernah mengalami masalah alergi.

Jika seorang ibu atau bapa mengalami alergi, setiap anak mempunyai risiko 20 hingga 40 peratus turut mengalaminya. Risiko ini lebih tinggi iaitu antara 40 hingga 60 peratus jika ibu dan bapa alergi.

Katanya, tanda alergi paling lazim muncul pada kulit atau saluran penghadaman. Alergi boleh menjejaskan kualiti kehidupan kerana pesakit tidak dapat menyertai banyak aktiviti atau terpaksa mengehadkan pengambilan makanan. Malah, kos rawatan dan pengurusan masalah ini juga tinggi.

“Walaupun alergi tidak boleh disembuhkan, kita boleh mencegahnya. Pencegahan alergi terhadap makanan boleh dicegah sejak kecil dan seelok-eloknya ketika masih bayi, terutama jika ada sejarah alergi dalam keluarga.

“Langkah pertama ialah memberikan susu ibu secara eksklusif selama enam bulan. Susu ibu mengandungi semua khasiat yang diperlukan bayi dan ia juga penting untuk mengelakkan jangkitan serta alahan.

“Ia juga menggalakkan pembentukan sistem pertahanan badan dengan merangsang pembentukan koloni bakteria baik dalam usus. Ini sebabnya insiden alergi di kalangan kanak-kanak yang diberikan susu ibu secara eksklusif adalah rendah,” katanya ketika memberikan taklimat pada sambutan Hari Alergi Malaysia anjuran Persatuan Alergi dan Imunologi Malaysia (MSAI).

Susu ibu tidak dianggap sebagai protein asing kerana ia diperkenalkan sejak hari pertama bayi dilahirkan. Susu ibu mengandungi bahan bifidogenik dan alergen (agen pencetus alahan) yang rendah daripada makanan ibu. Sistem imun bayi ‘dilatih’ untuk mengenali alergen dan merangsang tolerans mulut untuk mengelakkan reaksi alahan.

Jika boleh, lewatkan masa bercerai susu, sehingga sekurang-kurangnya anak berumur enam bulan. Perkenalkan makanan pejal satu demi satu secara berperingkat. Mulakan dengan makanan yang dikenal pasti kurang menyebabkan alahan seperti nasi, lobak merah, pir, epal dan prun.

Berikan anak masa dua hingga tiga hari sebelum bertukar ke makanan baru. Suapkan makanan dalam kuantiti kecil (satu hingga dua camca teh).

Makanan seperti barli, oat, gandum, daging (lembu dan kambing), ayam, kubis, kentang, bayam, jagung dan pisang biasanya sesuai diberikan kepada bayi berumur enam bulan, tetapi kadangkala ia juga boleh mencetuskan gejala alergi.

Antara makanan yang biasa menyebabkan alergi ialah kuning telur, kekacang dan ikan. Kata Wong, makanan ini hanya sesuai diperkenalkan kepada bayi selepas berumur sembilan bulan.

Manakala makanan yang sangat alergenik pula ialah makanan laut (udang, ketam dan kapis sama ada segar atau dikeringkan), putih telur dan kacang tanah pula disaran diberikan kepada bayi yang berumur 12 bulan.

Namun bagi bayi yang dilahirkan dalam keluarga bermasalah alergi, Wong menasihatkan supaya makanan dalam kumpulan sangat alergenik hanya diberikan kepada anak apabila mereka berumur tiga tahun.

Ada ibu bapa berpendapat, jika anak alah pada protein susu lembu, mereka boleh memberikan susu formula berasaskan soya. Bagaimanapun, kajian menunjukkan penggunaan susu berasaskan soya tidak menghindari perkembangan alergi pada kanak-kanak.

Kira-kira 15 hingga 50 peratus kanak-kanak yang alergi pada susu lembu juga alah susu kacang soya. Bagaimanapun untuk lebih jelas mengenai masalah anak anda, berbincanglah dengan doktor.

Apabila mempunyai anak yang alah pada makanan, ibu bapa perlu bersikap lebih berhati-hati dalam menguruskan sajian keluarga. Malah, ketika ini juga amalan membaca label perlu dimulakan, terutama untuk mengelakkan makanan yang dibeli mengandungi bahan alergenik.

Selain itu, buat carta khas untuk menyenaraikan jenis makanan yang boleh mencetuskan gejala alahan pada anak supaya ia boleh dihindari. Pada masa sama, pastikan rumah dibersihkan sekerap mungkin, terutama di bilik tidur.

Elakkan penggunaan permaidani, usah pelihara haiwan di dalam rumah atau di pusat jagaan kanak-kanak, usah merokok di depan anak atau ketika mengandung dan lebih baik jika tabiat buruk ini sama ada pada ibu atau bapa dapat dihentikan terus.

Lebih penting, jika anak tetap menunjukkan gejala alergi selepas semua langkah diambil, segera dapatkan nasihat doktor.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...