Thursday, February 4, 2010

ALAHAN MELAMPAU


Oleh

NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN


DUA minggu sebelum hari ulang tahun keempat, Angus tiba-tiba diserang anafilaksis, menyebabkan bibirnya bengkak. Panik melihat keadaan anaknya, Brenda Wylie segera membawa Angus ke hospital dan dia dibenarkan pulang selepas diberikan ubat.

Namun, keadaan Angus tidak berubah. Malam itu Brenda benar-benar takut dan bimbang melihat keadaan anaknya yang terlantar tidak bergerak, bibir bengkak dan tidak boleh menelan ubat. Dia tidak tahu apa berlaku kepada anaknya kerana Angus kanak-kanak ceria dan jarang mengalami masalah kesihatan.

Hendak dikatakan dia mengalami alahan tidak mungkin kerana makanan yang diambilnya hari itu adalah sajian biasa sejak Angus kecil. Malah, doktor yang memeriksanya juga mengatakan ia bukan disebabkan alahan.

Keesokan hari, dia segera membawa Angus berjumpa Perunding Alahan, Unit Otorinolaringologi, Jabatan Pembedahan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ranbir Kaulsay dan Angus disahkan mengalami alahan terhadap susu dan telur.

“Hari itu juga kami mengubah diet sekeluarga. Tiada lagi makanan berasaskan telur atau susu. Memang sukar, tetapi kami sepakat melakukannya demi keselamatan Angus,” katanya.

Angus membawa pen epinefrin ke sekolah atau ke mana-mana saja dia pergi. Malah, Brenda pergi mengajar guru dan kawan rapat Angus cara menggunakan pen berkenaan serta tanda alahan yang mungkin berlaku.

April lalu, Angus tiba-tiba berasa tidak sihat. Dia mengadu badannya panas dan sakit perut. Ibunya memberikan ubat demam dan menyuruh Angus tidur. Awal pagi keesokan harinya, bibir Angus menjadi bengkak. Sementara ibunya mengambil ubat, bengkak di bibir Angus merebak ke seluruh muka.

“Saya sangat takut melihat bibir Angus bengkak secara tiba-tiba sehingga menyebabkan dia tidak boleh bercakap. Saya memberitahu, dia perlu disuntik epinefrin dan Angus memberi isyarat mahu melakukannya sendiri.

“Selepas suntikan, bengkaknya mulai surut dan sejam kemudian Angus kembali normal. Sejak itu saya pastikan pen epinefrin sentiasa dalam simpanan kerana Angus pernah diserang anafilaksis dua kali. Pen itu menyelamatkan anak saya,” katanya.

Apa dialami Angus adalah tindak balas alahan melampau atau akut dipanggil anafilaksis. Tindak balas pantas dan serius ini berlaku apabila seseorang terdedah kepada bahan penyebab alahan atau alergen.

Apabila alergen memasuki aliran darah, badan membebaskan sejenis bahan kimia (histamin) untuk menghapuskan alergen itu. Terlalu banyak histamin boleh menyebabkan gejala berbahaya seperti bengkak, masalah pernafasan, pening, kejutan dan kematian.

Dr Ranbir yang juga Presiden Persatuan Alergi dan Imunologi Malaysia (MSAI) berkata, ini sebabnya anafilaksis tidak boleh dipandang ringan. Dalam tempoh singkat gejala alahan akut ini boleh membawa maut jika tidak diberikan rawatan segera. Antara punca yang boleh menyebabkan anafilaksis ialah alahan kepada getah, ubat, makanan, gigitan serangga dan senaman.

GEJALA

Menurut Perunding Telinga, Hidung dan Tekak, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr Kuljit Singh, insiden alahan menunjukkan peningkatan kerana semakin ramai terdedah kepada alergen.

Bagaimanapun, masalah anafilaksis tidak banyak dilaporkan dan penularannya mungkin lebih tinggi daripada dianggarkan. Di Amerika Syarikat, sebanyak 30 kejadian anafilaksis berlaku bagi setiap 100,000 penduduk dan risiko mengalami alahan akut ini lebih tinggi di kalangan pesakit asma, ekzema atau alahan rinitis.

Katanya, alahan boleh berlaku kepada semua orang pada bila-bila masa secara tiba-tiba. Seseorang boleh tiba-tiba menjadi alah kepada telur, gandum, kacang atau bahan lain walaupun bahan berkenaan selalu digunakan.

Walaupun kebanyakan punca alahan di kalangan orang dewasa tidak diketahui, kajian mendapati ramai alah terhadap sengatan serangga, ubat-ubatan, makanan dan senaman.

Namun, kebanyakan kanak-kanak biasanya mengalami alahan terhadap makanan. Alahan adalah perkara biasa dan kebanyakan penduduk negara ini mengalami sedikit alahan yang tidak memudaratkan.

Bagaimanapun, alahan akut atau anafilaksis boleh menyebabkan kematian kerana aliran udara tersekat atau kejatuhan tekanan darah secara mendadak jika tidak mendapat rawatan segera.

“Individu yang berasakan mereka ada masalah alahan, lebih baik berjumpa pakar bagi memastikannya. Kebanyakan ujian alahan yang ada sekarang adalah 95 hingga 99 peratus tepat.

“ Reaksi alahan sukar dijangka. Dalam beberapa minit saja reaksi alahan mungkin berubah menjadi serius seperti kejutan anafilaksis yang boleh meragut nyawa pesakit,” katanya.

Dr Ranbir berkata, ini sebabnya pesakit yang mengalami gejala alahan perlu diberi rawatan segera. Malah, pesakit perlu bertanggungjawab memastikan mereka sentiasa terhindar daripada alergen.

“Biasanya pesakit perlu dibawa ke hospital untuk menerima suntikan epinefrin atau adrenalin dan proses ini mengambil masa. Epinefrin bertindak melawan semua gejala anafilaksis, merehatkan otot, mengurangkan rasa gatal, memperbaiki saluran pernafasan dan merangsang degupan jantung,” katanya pada pelancaran pen suntikan epinefrin, EpiPen untuk pesakit dewasa dan kanak-kanak.

Pen epinefrin mudah digunakan. Ia hanya perlu disuntik pada tepi paha (kerana di sini kurang saraf) tanpa perlu menanggalkan pakaian. Malah, jarum yang direka mampu menembusi seluar denim yang tebal.

Pen ini didatangkan dalam dua dos iaitu 0.3 miligram untuk orang dewasa dan 0.15 miligram bagi kanak-kanak. Bagaimanapun, mereka yang ada masalah jantung dan mengambil ubat antidepresan disaran mendapatkan nasihat doktor terlebih dulu sebelum menggunakan pen epinefrin.

Dr Ranbir berkata, pen itu adalah rawatan kecemasan apabila diserang anafilaksis dan ia perlu digunakan dengan berhati-hati. Berlebihan dos akan menjejaskan degupan jantung, mual dan sukar bernafas. Malah, ahli keluarga perlu belajar cara menggunakannya dan kesan sampingan kerana berlebihan dos boleh merosakkan organ penting dalam badan.

Sejurus selepas pesakit disuntik dengan epinefrin, dia perlu segera dibawa ke hospital untuk diberikan antihistamin dan steroid untuk mengelak reaksi alahan kedua yang boleh berlaku beberapa jam kemudian.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...