Thursday, February 4, 2010

ALERGI BOLEH DICEGAH


Oleh

NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN


KULIT menjadi merah, tumbuh ruam dan gatal, berasa mual, muntah, cirit-birit atau ekzema sejurus selepas makan adalah gejala biasa dialami individu yang mempunyai masalah alahan terhadap makanan.

Alahan atau alergi adalah reaksi hipersensitif badan yang luar biasa terhadap benda asing dan masalah ini semakin kerap berlaku, terutama pada kanak-kanak dengan peningkatan insiden sebanyak 35 peratus.

Hampir 40 peratus kanak-kanak di seluruh dunia mengalami masalah alahan makanan dan kes paling biasa ialah alah pada protein susu lembu. Alahan dikategorikan sebagai masalah keturunan dan sehingga kini tiada ubat mampu menyembuhkannya.

Alahan juga perlu dikawal dan diuruskan dengan baik kerana ia bukan saja boleh mencetuskan gejala alahan lain, tetapi turut mengancam nyawa penghidapnya.

Antara gejala alahan ialah gangguan saluran pernafasan (lelah, bronkitis, asma); kulit menjadi gatal, tumbuh ruam dan ekzema; kanak-kanak sering mengalami masalah sembelit, cirit-birit, muntah dan kembung perut, sukar tidur, resah, gelisah, tidak selesa serta pertumbuhan yang lambat.

Menurut Pakar Pemakanan, Wong Mei Ching, semua kanak-kanak mempunyai risiko antara lima hingga 15 peratus walaupun mereka dilahirkan dalam keluarga yang tidak pernah mengalami masalah alergi.

Jika seorang ibu atau bapa mengalami alergi, setiap anak mempunyai risiko 20 hingga 40 peratus turut mengalaminya. Risiko ini lebih tinggi iaitu antara 40 hingga 60 peratus jika ibu dan bapa alergi.

Katanya, tanda alergi paling lazim muncul pada kulit atau saluran penghadaman. Alergi boleh menjejaskan kualiti kehidupan kerana pesakit tidak dapat menyertai banyak aktiviti atau terpaksa mengehadkan pengambilan makanan. Malah, kos rawatan dan pengurusan masalah ini juga tinggi.

“Walaupun alergi tidak boleh disembuhkan, kita boleh mencegahnya. Pencegahan alergi terhadap makanan boleh dicegah sejak kecil dan seelok-eloknya ketika masih bayi, terutama jika ada sejarah alergi dalam keluarga.

“Langkah pertama ialah memberikan susu ibu secara eksklusif selama enam bulan. Susu ibu mengandungi semua khasiat yang diperlukan bayi dan ia juga penting untuk mengelakkan jangkitan serta alahan.

“Ia juga menggalakkan pembentukan sistem pertahanan badan dengan merangsang pembentukan koloni bakteria baik dalam usus. Ini sebabnya insiden alergi di kalangan kanak-kanak yang diberikan susu ibu secara eksklusif adalah rendah,” katanya ketika memberikan taklimat pada sambutan Hari Alergi Malaysia anjuran Persatuan Alergi dan Imunologi Malaysia (MSAI).

Susu ibu tidak dianggap sebagai protein asing kerana ia diperkenalkan sejak hari pertama bayi dilahirkan. Susu ibu mengandungi bahan bifidogenik dan alergen (agen pencetus alahan) yang rendah daripada makanan ibu. Sistem imun bayi ‘dilatih’ untuk mengenali alergen dan merangsang tolerans mulut untuk mengelakkan reaksi alahan.

Jika boleh, lewatkan masa bercerai susu, sehingga sekurang-kurangnya anak berumur enam bulan. Perkenalkan makanan pejal satu demi satu secara berperingkat. Mulakan dengan makanan yang dikenal pasti kurang menyebabkan alahan seperti nasi, lobak merah, pir, epal dan prun.

Berikan anak masa dua hingga tiga hari sebelum bertukar ke makanan baru. Suapkan makanan dalam kuantiti kecil (satu hingga dua camca teh).

Makanan seperti barli, oat, gandum, daging (lembu dan kambing), ayam, kubis, kentang, bayam, jagung dan pisang biasanya sesuai diberikan kepada bayi berumur enam bulan, tetapi kadangkala ia juga boleh mencetuskan gejala alergi.

Antara makanan yang biasa menyebabkan alergi ialah kuning telur, kekacang dan ikan. Kata Wong, makanan ini hanya sesuai diperkenalkan kepada bayi selepas berumur sembilan bulan.

Manakala makanan yang sangat alergenik pula ialah makanan laut (udang, ketam dan kapis sama ada segar atau dikeringkan), putih telur dan kacang tanah pula disaran diberikan kepada bayi yang berumur 12 bulan.

Namun bagi bayi yang dilahirkan dalam keluarga bermasalah alergi, Wong menasihatkan supaya makanan dalam kumpulan sangat alergenik hanya diberikan kepada anak apabila mereka berumur tiga tahun.

Ada ibu bapa berpendapat, jika anak alah pada protein susu lembu, mereka boleh memberikan susu formula berasaskan soya. Bagaimanapun, kajian menunjukkan penggunaan susu berasaskan soya tidak menghindari perkembangan alergi pada kanak-kanak.

Kira-kira 15 hingga 50 peratus kanak-kanak yang alergi pada susu lembu juga alah susu kacang soya. Bagaimanapun untuk lebih jelas mengenai masalah anak anda, berbincanglah dengan doktor.

Apabila mempunyai anak yang alah pada makanan, ibu bapa perlu bersikap lebih berhati-hati dalam menguruskan sajian keluarga. Malah, ketika ini juga amalan membaca label perlu dimulakan, terutama untuk mengelakkan makanan yang dibeli mengandungi bahan alergenik.

Selain itu, buat carta khas untuk menyenaraikan jenis makanan yang boleh mencetuskan gejala alahan pada anak supaya ia boleh dihindari. Pada masa sama, pastikan rumah dibersihkan sekerap mungkin, terutama di bilik tidur.

Elakkan penggunaan permaidani, usah pelihara haiwan di dalam rumah atau di pusat jagaan kanak-kanak, usah merokok di depan anak atau ketika mengandung dan lebih baik jika tabiat buruk ini sama ada pada ibu atau bapa dapat dihentikan terus.

Lebih penting, jika anak tetap menunjukkan gejala alergi selepas semua langkah diambil, segera dapatkan nasihat doktor.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...